Tempoh penggantu­ngan serta-merta itu adalah selama sebulan, demikian menurut kenyataan bersama selepas mesyuarat dua hala antara Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr. Vivian Ba­lakrishnan di sini semalam.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak turut bersetuju pada masa ini, Menteri Pengangkutan dari kedua-dua negara itu perlu bertemu segera untuk perbincangan me­ngenai RA dan tatacara ILS untuk memastikan keselamatan dan keberkesa­nan pe­nerbangan awam.

“Langkah yang kami persetujui adalah positif dan terdapat usaha konstruktif ke arah meredakan keada­an berhubung perkara ini. Kami percaya ia akan mewujudkan persekitaran yang konstruktif bagi ke­dua-dua negara untuk mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama terhadap isu dua hala kita,” kata Saifuddin.

Mesyuarat dua hala itu berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Luar Si­ngapura di Sherwood Road di sini.

Pertemuan empat mata antara kedua-dua menteri luar itu berlangsung kira-kira sejam pagi semalam, disusuli dengan mesyua­rat delegasi.

Pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar di Singapura melibatkan pendaratan pesawat di lapangan terbang itu menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor, yang dibantah oleh Malaysia.

Singapura dan Malaysia turut saling menuding jari berhubung apa yang setiap pihak tegaskan sebagai perluasan had pelabuhan yang dianggap mencabuli kedaulatan dan undang-undang antarabangsa. – Bernama