Menteri Dalam Negeri itu berkata, Malaysia mempunyai Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan negara China yang mana Hong Kong adalah wilayah autonomi republik itu, sekali gus memudahkan proses penghantaran pulang enam rakyat Malaysia itu.

"Kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dengan Polis Hong Kong akan dilakukan untuk proses ekstradisi tersebut yang turut terkandung dalam MLA itu malah PDRM telah dimaklumkan oleh Polis Hong Kong mengenai penangkapan tersebut dan akan menyiapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Sama ada Akta Dadah Berbahaya 39B atau akta lain akan digunakan, itu terserah kepada mereka," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Memetik laporan portal berita South China Morning Post, enam rakyat Malaysia ditahan sepasukan pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas disyaki menyeludup dadah ketamin bernilai HK$3.9 juta (RM2 juta) ke negara itu.

Kesemua warga Malaysia berusia antara 18 dan 28 tahun itu ditahan ketika sesi pemeriksaan kastam sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada Rabu. - Bernama