Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dalam kenyataan hari ini berkata, melalui inisatif tersebut pengambilan cap jari serta semakan data jemaah haji Malaysia akan dilaksanakan di KLIA dan data tersebut akan disalurkan ke pangkalan sistem haji Arab Saudi.

"Objektif utama inisiatif ini adalah untuk mempermudah dan mempercepatkan proses kemasukan jemaah haji di King Abdulaziz International Airport Jeddah sekali gus menambahbaik prosedur sedia ada bagi menghadapi bilangan kemasukan jemaah haji yang tinggi di Arab Saudi," katanya.

Katanya, perbincangan mengenai inisiatif itu berlangsung hari ini di Jabatan Imigresen Malaysia dipengerusikan beliau dan Mejar Jeneral Mubarak Almuwina dari Supreme Hajj Committee Arab Saudi.

Antara yang hadir adalah delegasi dari Kerajaan Arab Saudi, wakil-wakil Lembaga Tabung Haji, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

Dalam pertemuan ini, kata Mustafar, kerajaan Arab Saudi memaklumkan mengenai pelaksanaan "Proof of Concept" (POC) sistem pemeriksaan awal bagi jemaah haji bermula tahun ini dengan jangkaan seramai 36,480 jemaah haji dan 88 buah kapal terbang akan terlibat dengan inisiatif berkenaan.

"Antara kelebihan inisiatif ini adalah mempercepatkan jemaah dari segi masa menunggu pelepasan di KLIA dan ketibaan di Jeddah di mana sistem haji di Jeddah dapat mengakses dan mengesahkan maklumat cap jari, visa, rekod kesihatan dan maklumat agen yang berdaftar.

"Selain itu Kedutaan Arab Saudi juga menjanjikan kemudahan penghantaran bagasi ke tempat penginapan jemaah haji bila mereka tidak perlu lagi menunggu bagasi di lapangan terbang sebaliknya boleh terus ke tempat penginapan masing-masing," katanya. – Bernama