Lebih 5,000 orang berhimpun secara aman di hadapan bangunan Kedutaan AS selepas masing-masing selesai menunaikan solat Jumaat kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengetuai bantahan tersebut berkata, sekalipun mempunyai pengaruh besar dalam dunia, Trump tidak sepatutnya membuat pengisytiharan tersebut.

“Ini satu pengisytiharan ha­ram. Lelaki berpengaruh dalam dunia bebas sekalipun sepatutnya hormat kepada undang-undang antarabangsa.

“Trump bukan sahaja me­nyinggung perasaan orang Islam bahkan seluruh masyarakat dunia yang mahu melihat keadilan sebenar,” tegas beliau ketika berucap di hadapan peserta solidariti yang menyokong bantahan terhadap Trump di hadapan Kedutaan AS di sini semalam.

Turut serta dalam perhimpunan tersebut ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun; Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari manakala Pas diwakili oleh Ketua Dewan Pemuda parti itu, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Sebelum itu, wakil Hamas Pa­lestinian Cultural Organization Malaysia, Muslim Imran, turut membuat ucapan di hadapan para peserta solidariti yang menyokong bantahan tersebut.

Khairy yang selepas itu menye­rahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan AS, Brian Nilsson turut menegaskan seluruh masyarakat dunia pastinya tidak akan berpeluk tubuh selepas ini dan terus menyokong kebebasan Palestin secara konsisten.

Di Putrajaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan keputusan AS itu sebagai amat tidak wajar.

“Jakim sama sekali tidak menyokong cadangan untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel memandangkan bumi Palestin adalah hak milik umat Islam, dulu kini dan selamanya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam menganjurkan solat hajat khusus yang dipimpin imam masjid Hamdan Muhammad selepas solat Jumaat, bagi mendoakan supaya Baitulmuqaddis dan seluruh bumi Palestin terus kekal sebagai hak milik mutlak umat Islam.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin turut menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan menimbulkan ketegangan dalam mencari perdamaian konflik Al-Aqsa, Palestin.

Di Kota Kinabalu, Ketua Dewan Pemuda Pas Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin mengetuai lebih 300 umat Islam berkumpul di hadapan Masjid Negeri di sini sebagai solidariti menyokong rakyat Palestin dan memprotes cadangan Trump.