Beliau berkata, ia akan melibatkan pertimbangan sama ada perlu menubuhkan sebuah universiti pertanian atau mengembalikan fungsi Universiti Putra Malaysia (UPM) seperti awal penubuhannya yang menekankan pertanian sebagai teras.

Katanya universiti berkenaan akan berperanan seperti Universiti Chulalongkorn dan Universiti Chiangmai di Thailand yang fungsi utamanya meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan teknologi baharu dalam bidang pertanian kepada graduan dan petani.

Salahuddin berkata keputusan berhubung universiti pertanian itu akan bergantung kepada perbincangan rasmi antara beliau dan pihak kementeriannya serta UPM bagi mencapai persefahaman sebelum dikemukakan  kepada Kementerian Pendidikan.

"Paling penting kita lihat kedudukan kewangan negara, namun sekiranya UPM bersetuju kembalikan fokus kepada pertanian, maka itu lebih baik dan kita hanya perlu lakukan pengubahsuaian terhadap modul dan pendekatan yang digunakan di universiti itu," katanya.

Salahuddin berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program memperkasakan pengembangan pertanian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

UPM dahulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia pada awalnya menekankan bidang perhutanan dan veterinar serta penyelidikan dalam bidang pertanian.

Dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia pada 1997 bagi menggambarkan ia sebagai pusat pengajian tinggi yang turut menawarkan pelbagai bidang pengajian terutamanya sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara ketika itu.

Menurut Salahuddin, UPM pada masa ini mempunyai sebuah kampus cawangan di Bintulu, Sarawak yang memberi fokus kepada bidang pertanian. - Bernama