Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, keyakinan untuk menjadi antara kuasa terbesar dunia itu adalah berdasarkan pelbagai dasar dan inisiatif  yang diperkenalkan terutamanya formulasi Dasar Digital Malaysia (MDP).

Menurut beliau, MDP merupakan satu kerangka yang menjadi asas utama pembangunan ekonomi digital negara.

"Oleh itu, kerajaan memberi fokus istimewa terhadap inovasi dan kreativiti, mengutamakan sains, teknologi dan matematik, kod dan sains komputer serta teknikal dan latihan vokasional dalam merealisasikan hasrat kita untuk muncul antara 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050," katanya dalam ucaptama ketika merasmikan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-13 di  Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Turut hadir ialah, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam dan bekas Perdana Menteri yang juga pengasas WIEF, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

WIEF ke-13 yang berlangsung pada 21-23 November ini bertemakan Perubahan Disruktif : 'Impak dan Cabaran'.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, Malaysia juga muncul antara negara yang terawal selain China dalam mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital.

"Pada tahun lalu sahaja, Malaysia di peringkat global berjaya menjana pendapatan kira-kira RM9.53 bilion menerusi pasaran e-perdagangan," katanya lagi. - K! ONLINE