Beliau berkata, selain peraturan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mengendalikan pelbagai aduan penyalahgunaan Internet, undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan turut mempunyai seksyen-seksyen yang terperinci untuk menangani masalah tersebut.

"Kita ada agensi-agensi yang melaksanakan undang-undang sedia ada sekiranya ada aduan berkenaan penyalahgunaan kuasa misalnya SKMM ada bidang kuasa untuk menyiasat aduan-aduan. Kita sering terima macam-macam aduan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Paser Puteh) mengenai sama ada  kerajaan berhasrat merangka dasar untuk menangani isu-isu negatif yang timbul akibat perluasan perkhidmatan Internet.

Menjawab soalan asal Nik Muhammad Zawawi berkenaan cadangan memperluas zon Wi-fi percuma di seluruh Malaysia oleh kerajaan, Gobind berkata, kerajaan pusat bersedia menyelaras atau membantu pihak pembekal perkhidmatan telekomunikasi dan pemilik premis perniagaan atau zon tertentu seperti hotel dalam usaha berkenaan.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, kementeriannya melalui SKMM telah melaksanakan inisiatif Wi-fi percuma iaitu Program Wifi Komuniti  bertujuan merapatkan jurang telekomunikasi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, program berkenaan menyediakan capaian Internet asas menerusi 'Wi-fi hotspots' di kawasan kurang liputan perkhidmatan di seluruh negara yang diperkenalkan pada 2011. - Bernama