Kementerian Luar dalam satu kenyataan turut mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian letupan bom tersebut dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Indonesia dan memantau perkembangan terkini.

"Kerajaan Malaysia merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada kerajaan Republik Indonesia dan keluarga mangsa yang terlibat di dalam serangan tersebut serta berharap mereka yang cedera akan segera pulih," kata kementerian itu di sini hari ini.

Rakyat Malaysia yang berada di Indonesia, khususnya di Surabaya dinasihat supaya lebih berhati-hati, sentiasa peka dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di alamat Jalan H.R. Rasuna Said, Mukim X/6, No 1-3 Kuningan, Jakarta Selatan, 12950, Indonesia atau e-mel [email protected] atau talian +62215224947 atau +6281380813036 (selepas waktu pejabat). - Bernama