Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu di kamarnya selepas membenarkan bantahan awal oleh Pejabat Peguam Negara terhadap permohonan MkiniDotcom untuk kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata adalah satu perkara biasa apabila pemohon (MkiniDotcom) yang memiliki dan mengendalikan portal dalam talian yang dikenali Malaysia Kini, tidak didakwa atas kesalahan mengikut Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

"Oleh itu, isu di sini ialah sama ada permohonan itu, langkah pendahuluan oleh pemohon untuk  menyerang Akta berkenaan, adalah pramatang dan mengemukakan permohonan tanpa memerlukan  locus standi.

"Dalam kes ini, memandangkan pemohon tidak didakwa atas sebarang kesalahan mengikut Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018, haknya tidak terjejas. Haknya hanya akan  terjejas jika dia didakwa mengikut akta berkenaan, dan hanya di dalam keadaan sedemikian, dia boleh mencabar keperlembagaan  akta tersebut.

"Untuk membenarkan permohonan di peringkat ini, akan merobohkan benteng bagi mana-mana litigan yang berani untuk mencabar keperlembagaan suatu undang-undang yang dia tidak suka," katanya sambil menambah bahawa pemohon tidak mempunyai locus standi kerana cabaran itu adalah pramatang.

Beliau menolak permohonan itu dengan kos RM5,000.

Peguam Kanan Persekutuan AwangArmadajayaAwangMahmudmewakili kerajaan dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden manakala peguam N. Surendrandan Latheefa Koya mewakili MkiniDotcom.

MkiniDotcommemfailkan permohonan itu pada 27 April, memohon perisytiharan bahawa Akta Anti-Berita Tidak Benar  2018 adalah tidak sah dan terbatal kerana melanggar Perkara 5(1) dan Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5 berkaitan dengan kebebasan individu manakala Perkara 10(1) berhubung kebebasan bersuara.

Surendran memberitahu pemberita bahawa Mkini akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu secepat mungkin. - Bernama