Saifuddin yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari sehingga Isnin ini di Indonesia berkata, kerjasama lebih padu itu dilihat amat penting bagi menjaga kepentingan masa depan komoditi itu, produk-produk sawit serta para pekebun sawit.

"Kita (Malaysia dan Indonesia) mahu produk-produk (sawit) kita laris dan sudah tentulah kita akan bekerjasama meningkatkan lagi promosi produk itu selain menangkis serangan Eropah terhadap produk kita," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu kedua-dua negara juga akan mempertingkatkan peranan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi mempromosi produk-produk sawit. Malaysia dan Indonesia ialah negara pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia.

Resolusi antiminyak sawit Jawatankuasa Alam Sekitar Parlimen Eropah (ENVI) pada 23 Oktober 2017, antara lain melarang bahan api-bio sawit memasuki Kesatuan Eropah (EU) bermula 2021. - Bernama