Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd. Jeffrey Joakim berkata, ini berdasarkan takrifan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bahawa mana-mana negara yang merekodkan pengangguran bawah 4.0 peratus sebagai negara guna tenaga penuh.

"Kadar pengangguran di Malaysia dalam julat 3.3 hingga 3.4 peratus adalah baik dan terkawal," katanya semasa ditemui pada Pertandingan Terbuka Pidato Kerjaya Sekolah Menengah Negeri Perlis dan pelancaran Sambutan 1Dekad JTK Perlis di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perlis di sini, hari ini.

Beliau berkata, kestabilan ekonomi dan politik semasa negara menyumbang kepada kadar pengangguran yang rendah.

Mengenai pemberhentian pekerja oleh beberapa syarikat di negara ini, beliau berkata ia bukan disebabkan kelembapan ekonomi tetapi kerana syarikat terbabit memindahkan operasi mereka ke kawasan lain.

Pada majlis itu Mohd. Jeffry menyampaikan hadiah kepada 10 pemidato yang mengambil bahagian serta menyampaikan Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (SBGPOKU) berjumlah RM100,000 kepada tiga penerima.

Setakat Julai lepas, seramai 200 OKU telah menghantar permohonan kepada JTK memohon geran di bawah skim itu, bagi mengembangkan perniagaan mereka. - Bernama