Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) hari ini, Malaysia menyatakan keyakinannya bahawa pendirian Amerika itu bercanggah dengan usaha mencapai penyelesaian menyeluruh dan berpanjangan bagi konflik Palestin-Israel.

"Ia akan menggagal dan menjejaskan usaha masyarakat antarabangsa untuk memastikan keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan," kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata, Malaysia seterusnya menyifatkan tindakan-tindakan oleh Amerika sebagai mencabuli hak-hak rakyat Palestin dan perjuangan mereka ke arah pemerintahan sendiri.

"Ia akan membakar sentimen dan menggagalkan sebarang rundingan ke arah perdamaian pada masa akan datang," katanya. - Bernama