Beliau berkata, jumlah peminat eSports tempatan diramal akan meningkat daripada 1.8 juta pada 2016 kepada 2.4 juta peminat pada akhir tahun ini.  

"Ini menunjukkan bahawa industri sukan permainan digital ini akan terus bertapak kukuh dan mendapat perhatian anak-anak muda negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memeterai Perjanjian Di Antara Kitamen Entertainment Sdn. Bhd., Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) bagi kerjasama pembangunan industri eSports sempena pelancaran Kitamen Equity Crowdfunding Campaign di sini hari ini.

Jelasnya, bilangan peminat eSports Asia Tenggara pula dijangka berkembang dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) 36.1 peratus antara 2015 dan 2019 iaitu mencapai sehingga 19.8 juta peminat. - Bernama