Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini bagi memudahkan para penumpang merancang semula perjalanan mereka. 

Beliau berkata, tiada sebarang pembatalan penerbangan akan dibuat susulan penutupan ruang udara sekitar KLIA dan KLIA2 selama lima hari bermula 27 Ogos ini untuk pertunjukan udara bersempena sambutan Hari Kebangsaan. 

“Saya harap syarikat penerbangan tolong maklumkan kepada penumpang mereka mengenai perkara ini dan syarikat penerbangan sendiri perlu mengatur semula jadual penerbangan pesawat mereka,” katanya kepada pemberita pada program Serahan Jalur Gemilang hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, penutupan ruang udara bagi program sambutan Hari Kebangsaan itu bukanlah kali pertama dilakukan.

“Saya harap orang ramai dapat memberikan kerjasama kerana ini terpaksa dilakukan bagi menyambut Hari Kebangsaan negara kita,” katanya. 

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semalam memaklumkan penutupan sementara terhadap ruang udara sekitar KLIA dan KLIA2 selama lima hari adalah bagi tempoh bermula pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi berkuat kuasa mulai 27 sehingga 31 Ogos ini. - Bernama