Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi memastikan kepentingan rakyat Malaysia terjamin sekiranya berlaku sebarang masalah seperti kemalangan jalan raya di negara tersebut.

“Terdapat ramai rakyat kita yang melakukan perjalanan jarak jauh di Thailand dan apabila berlaku kemalangan mereka berhadapan dengan masalah yang serius kerana kurang pengetahuan tentang undang-undang, akta dan struktur insurans menyebabkan mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya sehingga terpaksa membayar kos yang sangat tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima memorandum daripada Kelab Penunggang Motosikal Bersatu Malaysia (BUCM).

Turut hadir ialah Pengerusi BUCM, Azuan Abu Bakar yang mewakili 200 pertubuhan bukan kerajaan dengan jumlah keahlian seramai 10,000 bagi meminta supaya kerajaan melaksanakan penambahbaikan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan masalah apabila berkunjung ke negara tersebut.

Kandungan memorandum tersebut turut memaklumkan tentang beberapa kejadian kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta atau penunggang motosikal terpaksa mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk menyelesaikan masalah mereka dan pihak insurans pula tidak dapat memberikan sebarang bantuan apabila diperlukan. - K! ONLINE