Kaedah menangani penyalahgunaan dadah juga harus selaras dengan hasrat kerajaan untuk dikriminalisasi penagihan dadah, serta akan melibatkan kerjasama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Majlis Sosial Negara dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu juga bersetuju dengan cadangan menggubal satu akta baharu yang lebih inklusif dan komprehensif untuk menangani isu gelandangan dan pengemisan dengan mengambil kira kuasa dan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.  

Turut dipersetujui dalam mesyuarat itu ialah pelaksanaan program rintis ExoCamp (Explore, Experience, Extreme and Organise) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta penambahbaikan kerjasama antara KBS dan PBT untuk menyediakan intervensi jangka masa panjang di kawasan perumahan bagi menangani isu gejala sosial di kalangan remaja.

Mesyuarat juga mengambil maklum dan bersetuju dengan empat kertas makluman yang telah dibentangkan iaitu Perkongsian Data berkaitan Isu Pembuangan Bayi oleh Kementerian Dalam Negeri serta Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM). - Bernama