Pemilik dan Pengarah Les Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi berkata, beliau juga memaklumkan CEP antara yang boleh dilakukan adalah mewujudkan taman tema bertemakan karya animasi terkenal Upin dan Ipin di negara ini sebagai daya tarikan pelancong.

"Upin Ipin adalah harta intelek yang kuat. Ia boleh diadaptasikan bukan sahaja melalui kartun tetapi juga mampu mencipta ruang bisnes yang lain," katanya kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan CEP di Menara Ilham hari ini. 

Tetapi yang menjadi halangan terbesar untuk membina taman tema berkenaan adalah kekangan dana. 

Burhanuddin turut berkata, dunia animasi perfileman sangat luas dan ia memerlukan sokongan kerajaan untuk memartabat karya seni tempatan terutamanya animasi. 

Les Copaque Production sedang menjalankan kerjasama dengan negara China bagi membolehkan filem terbaru Upin Ipin yang diterbitkan tahun depan dapat disiarkan di negara berkenaan. 

Beliau turut berkata, siaran televisyen tempatan seharusnya turut menyokong usaha memperkasa karya tempatan. 

"TV9 tidak membeli production Upin Ipin tahun ini kerana tiada dana diperuntukkan untuk tujuan berkenaan. Jadi kami telah hantar karya kami ke Indonesia. Produk kita mestilah seharusnya diberi keutamaan". - Bernama