Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, sistem tersebut bertujuan untuk memastikan kualiti dan prestasi guru dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PNP) sentiasa pada tahap terbaik dan diminati pelajar.

“Setiap prestasi guru akan dinilai dari 0 hingga 10 markah bagi sesuatu subjek yang diajar.

“Hasil pemarkahan pelajar itu pula akan dinilai oleh satu jawatankuasa khas penilaian yang akan dibentuk kelak,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat MAIWP di sini semalam.

Syed Hussien menambah, cadangan itu merupakan projek penanda aras yang dijalankan oleh MAIWP dalam memantapkan institusi pendidikan dan berpotensi untuk diikuti oleh sekolah-sekolah lain.

“Dijangka sistem ini akan dimulakan pada Januari tahun hadapan dan ini adalah kali pertama diadakan di sekolah-sekolah di bawah MAIWP.

“Selain itu, pusat asuhan bayi yang memfokuskan penjagaan anak-anak asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya juga bakal diwujudkan sebagai inisiatif MAIWP dalam membela kebajikan keluarga asnaf dan golongan B40,” jelasnya.

Ujarnya lagi, pihaknya turut berhasrat melahirkan golongan imam profesional melalui program diploma khas dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam usaha menambahbaik hala tuju pendidikan MAIWP.

“Selain itu, kami juga akan menaiktaraf tahap persijilan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) kepada diploma peringkat antarabangsa khususnya untuk lepasan pelajar yang menceburi bidang yang sama,” katanya.

Majlis bertemakan ‘Guru, Obor Berhemah Menyinari Pertiwi’ tersebut dihadiri kira-kira 600 tenaga pengajar MAIWP termasuk wakil-wakil guru dari Labuan dan Putrajaya. - K! ONLINE