Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, jawatankuasa itu antara lain akan mengenal pasti keperluan mualaf dari aspek ekonomi dan juga penghayatan agama.

"Kita menyedari ada mualaf disisihkan anggota keluarga mereka dan menghadapi kesulitan dalam menjalani kehidupan seharian dan sebab itu MAIPs mengambil langkah proaktif," titah baginda ketika merasmikan program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri MAIPs Kepada Asnaf Mualaf Perlis 2018 di Masjid Al-A'la Bohor Temak di sini petang semalam.

Turut berangkap pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, keputusan penubuhan jawatankuasa khas itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 6 Ogos tahun lepas.

Menurut baginda lagi, status mualaf sebagai saudara baharu ditentukan dalam tempoh lima tahun selepas mereka memeluk Islam.

Selain itu kata baginda, golongan asnaf mualaf akan terus dibela melalui penganjuran kelas pengajian agama, membina Bazar Asnaf serta menyediakan peruntukan khas pentadbiran dan pengurusan kepada Perkim Perlis, titah baginda.

Seramai 700 mualaf yang hadir pada program itu diberi sumbangan sebanyak RM200 seorang yang berjumlah RM140,000. - Bernama