Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra yang juga Yang Dipertua MAIK berkenan berangkat menyampaikan sumbangan itu kepada penerima di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.

Enam NGO terbabit ialah Persatuan Orang Kurang Upaya Kelantan, Persatuan Cina Muslim Malaysia, Persatuan Kebajikan Saudara Baru, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Institut Dakwah Islamiah Kelantan dan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, MAIK telah menjalinkan kerjasama baik dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bagi memastikan keberkesanan penyaluran bantuan kepada pesakit asnaf.

"Bermula pada 1998, program bantuan rawatan perubatan telah diperkenalkan yang merangkumi bantuan pembelian peralatan perubatan, ubat-ubatan, susu, lampin pakai buang, kos tambang ulang-alik ke hospital, kos sara hidup dan lain-lain," katanya. - Bernama