Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sekaligus menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan Senator Liew Chin Tong.

Liew memfailkan petisyen pilihan raya itu terhadap Wee, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Hafiz Aliman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing defendan pertama, kedua dan ketiga kerana mendakwa terdapat beberapa peraturan dan undang-undang yang dilanggar sepanjang tempoh berkempen.

Dalam penghakimannya Mohd Nazlan berkata, mahkamah bersetuju dengan peguam pihak responden bahawa petisyen yang dikemukakan itu tidak menyatakan fakta berhubung aduannya bahawa terdapat amalan rasuah sepanjang tempoh berkempen.

Hakim itu berkata, Liew selaku pempetisyen juga mesti mengemukakan selanjutnya bahawa ketidakpatuhan terhadap peruntukan itu menjejaskan keputusan pilihan raya.

"Pempetisyen mesti membuktikan bahawa terdapat kausa tindakan berhubung aduan itu. Kegagalan untuk berbuat demikian adalah amat serius. Dengan alasan ini, saya mendapati pihak responden (Wee) berjaya dalam bantahan awalnya untuk membatalkan petisyen ini kerana terdapat beberapa pelanggaran. Sehubungan itu, saya menolak petisyen ini dan mengisytiharkan responden dipilih sebagai ahli parlimen secara sah," katanya sambil memerintahkan Liew membayar kos RM10,000 bagi setiap responden.

Liew yang merupakan pengerusi DAP Johor diwakili peguam Datuk Yeo Yang Poh, manakala Wee diwakli peguam Ng Chee Hor dan Ang Boon Heng dan Zulhelmi Wagiman bertindak bagi pihak Mohd Hafiz dan SPR.

Wee ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau lega dapat mempertahankan kerusi parlimennya manakala Liew berkata pihaknya akan berbincang sama ada untuk memfailkan rayuan atau tidak.

Pada 12 Jun lalu, Liew memfailkan petisyen pilihan raya itu untuk membantah keputusan PRU14 bagi kawasan parlimen berkenaan selepas mendakwa terdapat beberapa peraturan dan undang-undang yang dilanggar sepanjang proses berkempen di kawasan parlimen itu.

Pada PRU14 yang diadakan pada 9 Mei lalu, Wee memenangi kerusi parlimen itu dengan 17,076 undi, manakala Liew memperolehi 16,773 undi. Calon PAS, Mardi Marwan pula mendapat 4,975 undi. - Bernama