Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, jabatan tersebut sudah membuat permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan bidang kuasa admiralti terhadap kapal tersebut dan ia telah ditahan dibawah undang-undang Malaysia.

“Menerusi Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Indonesia dan Amerika Syarikat yang diaktifkan sebelum ini, perbincangan terperinci dan sensitif telah diadakan pada peringkat tertinggi melibatkan pelbagai agensi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Februari lalu, kapal berkenaan dirampas dan disita pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat, bagi membantu siasatan berhubung skandal penyelewengan oleh 1MDB.

Bagaimanapun, pada April lalu Mahkamah Indonesia memutuskan tindakan menyita kapal berkenaan adalah salah dan harus diserahkan pada pemilik asalnya Jho Low, namun kapal itu sekali lagi disita pada awal Julai lalu atas permintaan secara rasmi dari Kerajaan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Tommy menjelaskan, pihak DOJ telah menyatakan bahawa kapal mewah tersebut dimiliki oleh Malaysia dan 1MDB kerana ia dibeli dengan menggunakan wang milik kerajaan Malaysia. 

“Kami ingin melahirkan penghargaan kepada pemerintah Indonesia dan Amerika Syarikat terutama Polis Republik Indonesia (Polri) yang memberikan kerjasama serta kolaborasi dengan kami untuk membolehkan kapal ini dibawa pulang ke Malaysia,” ujar beliau.

Antara agensi yang terlibat untuk membawa pulang Equaminity ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. - K! ONLINE