Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ia bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat tidak dilihat tergesa-gesa kerana kesannya amat besar kepada imej Islam.

Beliau berkata kerajaan persekutuan amat prihatin berhubung isu sebat terhadap dua wanita di Terengganu baru-baru ini dan saranan dibuat tidak bertujuan untuk mempertikai dan mempersoal kewibawaan Mahkamah Syariah.

"Berdasarkan pemerhatian dan beberapa petunjuk, kami mendapati terdapat perkara yang perlu diketengahkan dan diberi perhatian oleh semua pihak sebagai pengajaran penting agar kerahmatan Islam dapat dipelihara.

"Pelaksanaan hukuman sebat itu sememangnya memberi kesan yang mendalam bukan saja kepada pesalah tetapi kepada keluarga, masyarakat dan juga persepsi terhadap pelaksanaan hukuman syariah di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mujahid berkata perkara itu wajar diberi pertimbangan oleh Mahkamah Syariah kerana ia institusi yang mewakili perundangan Islam.

"Bagi kesalahan kali pertama contohnya, serta pengakuan bersalah dan tahap pengetahuan atau pendidikan pelaku perlu diambil kira dalam menentukan bentuk hukuman yang selayaknya. 

"Aspek faktor mitigasi dalam penghakiman perlu diambil kira bagi memberi keadilan kepada pesalah sebelum sesuatu hukuman diputuskan," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kabinet memutuskan hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu itu tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

Pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun berjalan keluar dari dewan bicara selepas menjalani hukuman
Pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun berjalan keluar dari dewan bicara selepas menjalani hukuman sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu Isnin lalu atas pertuduhan melakukan hubungan sejenis.

 

Menurut Mahathir, kes itu adalah yang pertama bagi dua wanita berkenaan, justeru biasanya mereka perlu diberikan nasihat dan tidak terus dihukum sebat sehingga diketahui seluruh negara dengan jemaah menteri berpendapat pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu yang mana dalam Islam, hukuman yang lebih ringan boleh dijatuhkan.

Dalam kes melibatkan dua wanita itu, Mujahid berkata pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka ialah percubaan melakukan musahaqah sedangkan perlakuan sebenar masih belum dibuktikan.

Beliau berkata timbul kekeliruan bahawa tindakan sebat di khalayak ramai bersandarkan kepada pihak berkuasa yang dikaitkan dengan kes hudud sedangkan hukuman sebat tersebut hanyalah hukuman ta'zir yang tidak mewajibkan penyaksian awam.

Sewajarnya pertimbangan terhadap hukuman perlu dilakukan secara berhikmah dan penuh rahmah serta bersifat mendidik, apatah lagi pelaksanaan sebatan di khalayak ramai turut menimbulkan polemik, katanya.

Mujahid berkata banyak prinsip Maqasid Syariah yang perlu difahami bagi meletakkan keadilan dalam melaksanakan hukum syariah dalam masyarakat kerana gambaran yang jelas dalam menentukan Maqasid Syariah penting agar tidak menampakkan undang-undang syariah menjadi beban kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata tujuan utama hukuman ta'zir adalah untuk pencegahan, kesedaran dan pengajaran dalam diri pelaku seterusnya dengan rela hati menjauhkan diri dari perbuatan yang dilarang, bukannya meninggalkan aib di sepanjang hidup.

Bagaimanapun, sebagai pemerintah kerajaan Persekutuan akan sentiasa bersama-sama dengan semua kerajaan negeri untuk memperhalusi dan menambahbaik sistem kehakiman sedia ada agar sebarang kelemahan dapat diatasi melalui pendekatan yang lebih strategik berdasarkan Maqasid Syariah supaya sifat rahmatan lil 'alamin dapat dilaksanakan dalam sistem pentadbiran negara secara berhikmah, katanya.

Isnin lepas, dua wanita berusia 32 dan 22 tahun dijatuhkan hukuman rotan enam kali oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas kesalahan cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun pada 8 April lalu. - Bernama