Demikian teguran Majistret Nor Ariffin Hisham terhadap pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari, 37, yang mahu tertuduh selepas ini tidak lagi mengeluarkan sebarang ke­nyataan berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Nor Ariffin berkata, apa-apa perkara perlu dirujuk kepada mahkamah dan ia akan dipertimbangkan.

“Mahkamah ingin beri peri­ngatan kepada tertuduh sebab kes telah dituduh di mahkamah. Harap tertuduh tidak buat kenyataan berkaitan kes dituduh di mahkamah,” kata beliau.

Bagaimanapun, peguam bela Faizul Mohd. Nasir yang mewakili Farid Kamil berkata, pihaknya tidak menyentuh secara langsung tentang pertuduhan berkaitan anak guamnya.

Pada 28 Februari lalu, Farid Kamil te­lah mengadakan sidang akhbar di Setia Alam, Shah Alam, Selangor antara lain mendakwa dia telah dipukul anggota polis sehingga meninggalkan parut di dahi ketika ditahan di dalam lokap.

Sementara itu, semasa pro­siding semalam, pertuduhan pertama dan kedua, pelakon filem itu didakwa dengan se­ngaja mendatangkan kece­deraan kepada seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Sek­syen 323 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, Farid Kamil didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam dengan niat menghalang penjawat awam itu menjalankan tugasnya.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan-perkataan kurang sopan sehingga boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan kepada Muhammad Nizam.

Pertuduhan ketiga dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau ke­dua-duanya sekali manakala pertuduhan keempat, Farid Kamil didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada pukul 1.20 petang, 11 Ja­nu­a­ri lalu.

Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau ke­dua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik berkata, prosiding semalam adalah untuk sebutan serahan dokumen. Mahkamah menetapkan 7 Mei hadapan untuk pengurusan kes.