Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebanyak 314 kes telah diselesaikan dan hanya 68 kes masih tertunggak.

"Jumlah ini menunjukkan bahawa kes-kes tersebut telah diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu kurang daripada setahun," katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) di persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Azalina berkata, mahkamah tersebut juga diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga melihat beberapa pendekatan lain termasuk mewujudkan  hakim dalam kategori JUSA C dan pendakwa raya  tidak dipindahkan untuk sekurang-kurangnya tiga tahun supaya mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam mengendalikan kes sedemikian.

Azalina berkata, garis panduan khas yang diwujudkan sejak 13 Dis tahun lalu sangat penting bagi memastikan proses pengendalian kes dilaksanakan secara adil.

"Garis panduan ini merupakan satu-satunya diwujudkan dalam sistem mahkamah negara kita, ia akan menjadi panduan seragam kepada semua pihak terlibat bagi membantu kelancaran perjalanan prosiding kes dan memastikan proses pengendalian kes bertepatan dengan prinsip keadilan," katanya. - Bernama