Pencalonan Mahathir, 93, sebagai calon Parlimen Langkawi diumumkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Jelajah Pakatan Harapan di Bulatan Lapangan Terbang, Padang Mat Sirat di sini sebentar tadi.

Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Pada PRU-13 lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nawawi Ahmad berjaya memenangi Parlimen Langkawi dengan majoriti 11,861 undi.

Dua pencabar Nawawi iaitu Ahmad Abdullah (PKR) memperoleh 9,5463 undi dan Marina Hussein (Bebas) pula mendapat 180 undi.

Mahathir yang juga Pengerusi PPBM yang dibubarkan sementara sebelum ini mendedahkan bakal bertanding salah satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada PRU-14.

Bagaimanapun ramai pemerhati politik menjangkakan bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu itu bertanding di Langkawi.

Sementara itu, Mukhriz pula diumumkan oleh Mahathir bertanding di Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra. - K! ONLINE