Katanya, beliau akur dengan persetujuan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri sementara untuk tempoh yang disebut adalah dua tahun.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pada sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Brunei Darussalam, di sebuah hotel di sini malam tadi.

Mengenai kebimbangan sekiranya sejarah akan berulang apabila beliau tersilap memilih penggantinya untuk menerajui negara, Mahathir berkata, sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan penggantinya, maka ​​​​​​​rakyat boleh membuat pendirian pada pilihan raya umum.

Menurut beliau, sebelum ini banyak usaha dilakukan seperti demonstrasi, failkan usul tidak percaya, laporan polis serta deklarasi rakyat menolak kepimpinan kerajaan namun semuanya itu tidak berjaya sehingga ketetapan dibuat rakyat dalam pilihan raya umum.

Beliau seterusnya menafikan tohmahan yang sering dilemparkan terhadapnya, kononnya beliau adalah ‘Ultra Melayu’ kerana menurutnya gelaran itu, sama seperti label Mahafiraun, Mahazalim dan sebagainya semata-mata diberikan oleh musuh politik.

Katanya, beliau mengutamakan negara supaya tidak wujud jurang perbezaan begitu ketara antara penduduk pelbagai kaum sehingga boleh mengundang permusuhan dan rusuhan.

Justeru, katanya, PH sedang berusaha membela nasib dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum​​​​​​​. - Bernama