Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan 2012) memberi kelonggaran kepada mahasiswa untuk berkecimpung dalam politik di luar kampus namun tidak bermakna mereka boleh melanggar undang-undang negara dan undang-undang kampus.

"Berkempenlah secara sihat kerana kita ingin melihat mahasiswa lebih matang dalam berpolitik supaya pilihan raya ini boleh memberi pengalaman kepada mereka mengenai proses pendemokrasian dalam negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Komuniti Rantau Panjang di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April dan 5 Mei sebagai tarikh pengundian awal.

Sementara itu, Idris berkata Kolej Komuniti adalah antara platform yang disediakan kepada golongan belia untuk mendapatkan pelbagai kemahiran selaras dengan usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Idris berkata kerajaan sebelum ini telah menambah peruntukan daripada RM4.6 bilion tahun lepas kepada RM4.9 bilion pada tahun ini dalam usaha meningkatkan kemahiran TVET.

Dijangkakan Malaysia memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran TVET untuk memenuhi 1.5 juta pekerjaan yang berasaskan TVET yang akan diwujudkan menjelang tahun 2020, katanya.

Beliau berkata komuniti setempat juga berpeluang untuk mengikuti kursus jangka pendek dalam pelbagai bidang kemahiran seperti membuat kuih, solekan dan menggunting rambut, bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Kolej Komuniti Rantau Panjang adalah kolej komuniti yang ke-99 di negara ini, menawarkan program sepenuh masa iaitu Sijil Perkhidmatan Logistik bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. - Bernama