MAHA 2018 akan diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini mulai 22 November hingga 2 Disember depan.

Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, acara dwitahunan anjuran kementeriannya itu akan mencatat sejarah sebagai program terbesar negara yang mengiktiraf peranan wanita dalam sektor pertanian.

Menurutnya, MAHA 2018 akan menampilkan pembaharuan dengan slogan Segalanya Wanita sebagai inisiatif menyokong Tahun Memperkasakan Wanita yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Program ini akan menonjolkan peranan golongan wanita dalam industri agro makanan negara untuk memastikan setiap daripada mereka tidak tertinggal dalam perancangan yang dibuat.

“Kita juga yakin dapat mencapai sasaran jualan sebanyak RM500 juta dengan anggaran pengunjung lebih daripada 3.7 juta orang pada MAHA 2018 berbanding 3.5 juta orang pada MAHA 2016 dengan nilai jualan RM300 juta,” katanya pada Majlis Prapelancaran MAHA 2018 di MAEPS di sini semalam.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar. - K! ONLINE