Pengerusi Persatuan Food Truck Malaysia (MAFTA), Datuk Mohamad Zaini Md. Taha berkata, sehingga kini masih ramai pengusaha trak makanan yang tidak memiliki lesen perniagaan sah kerana keliru terhadap garis panduan yang tidak tetap daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berlainan apabila mereka bergerak ke kawasan tertentu untuk menjalankan perniagaan. 

"Oleh kerana perniagaan mereka adalah secara bergerak, kadangkala mereka keliru apabila peraturan untuk memohon lesen daripada PBT agak berlainan dan ada kalanya mengambil masa yang lama untuk mendapatkan lesen. 

"Sedangkan perniagaan mereka hanya dijalankan untuk tempoh yang singkat. Justeru, ada dalam kalangan mereka mengabaikan proses itu dan terus membayar sewa tapak kepada penganjur ataupun berniaga secara haram tanpa memohon lesen PBT," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Katanya, lebih 80 peratus daripada peniaga trak makanan di seluruh negara belum mendapat lesen PBT menyebabkan mereka sering disaman dan disita.

"Sehingga kini terdapat 820 peniaga trak makanan yang berdaftar sebagai ahli di bawah MAFTA di seluruh negara. 

"Peniaga yang ada tapak tetap daripada PBT, itu memang sudah terjamin, tetapi peniaga trak makanan yang bergerak secara merata inilah sebenarnya perlu diberi pendedahan mengenai garis panduan yang tetap selain dapat menjamin keselamatan mereka serta berniaga secara sah," katanya. 

Beliau berkata, selain itu, ramai juga peniaga trak makanan turut ditindas kerana terpaksa membayar sewa tapak yang mahal kepada penganjur ataupun pemilik tapak trak makanan. 

"Selaraskan harga sewa tapak itu, kalau untuk acara tertentu kadar sewa lain, tapi untuk jangka masa panjang, biarlah harga itu ditetapkan dan tidak terlampau mahal," katanya. - Bernama