Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, ini berbanding dengan kerugian dicatatkan bagi tempoh sama bagi tahun lalu hanya RM6.6 juta dengan 268 kes sahaja. 

"Perbezaan ketara kerugian itu disumbangkan dengan penipuan Macau Scam bagi penyamaran polis iaitu RM12juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding RM2juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

"Trend peningkatan ini amat membimbangkan dan polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan terpedaya sekiranya menerima panggilan kecemasan daripada individu tidak kenali sebaliknya, mereka perlu tampil ke balai polis berhampiran bagi tujuan pengesahan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan polis kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Menurut beliau, berdasarkan modus operandi Macau Scam terbahagi kepada dua iaitu menyamar sebagai pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Kastam bagi menyelesaikan masalah.

Katanya, kebanyakan kes yang menyamar polis akan menyatakan mereka dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dengan mendakwa mangsa terlibat kes dadah, pengubahan wang haram atau kes langgar lari dengam meminta memasukkan sejumlah wang.

"Satu lagi modus operandi adalah dengan memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank dengan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit. 

"Suspek selalunya akan membuat panggilan menggunakan talian sistem telefon Suara Melalui Protokol Internet (VoIP)," jelasnya. - K! ONLINE