Jumlah tersebut dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Kementerian Kewangan.

THM dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas banyak pihak menyua­rakan hasrat mereka untuk membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang didakwa berjumlah RM1 trilion. Susulan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuat pengumuman bahawa rakyat yang hendak membantu mengurangkan beban negara boleh me­nyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 5660-1062-6452.

Tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah murah hati menderma kepada negara, semoga keamanan yang dikecapi kini berterusan selama-lamanya.

Sebelum pergi lebih ‘merapu’ memandangkan penulis bukan ahli atau pakar ekonomi, suka hendak diselitkan di sini tentang pendapat segelintir pengguna internet yang perasan pandai mempersoalkan kewajaran akaun sumbangan ber­kenaan dibuat di Maybank. Mengapa tidak dibuka akaun khas di Bank Negara sahaja?

‘Kepandaian’ segelintir masyarakat ‘tamadun digital’ dengan beraninya mempamerkan kebodohan memang sesuatu yang tidak pelik ketika ini. Ia bahkan mungkin suatu peledak lelucon saat sebahagian ahli masyarakat sedang berdepan ba­nyak tekanan hidup. Setidak-tidak kita masih boleh ketawa saat banyak kepinca­ngan menye­sakkan otak.

Tidak berniat untuk bercakap banyak tentang THM tetapi masih mengenai tabungan peribadi, tentunya musim perayaan ini menuntut lebihan tabungan untuk dileburkan demi memenuhi harapan hati. Pusat-pusat beli-belah sudah awal lagi membuat jualan raya harga runtuh, padahal poket pelanggan yang lebih banyak runtuh.

Karnival jualan sudah menjalar di mana-mana, kedai-kedai online di Instagram dan Facebook rancak melancarkan kempen, itu belum kira deretan perkongsian biskut raya atau aneka kek yang sedia dibeli atau ditempah dalam grup-grup WhatsApp. Semua itu adalah godaan yang perlu dicatu dengan baik sepanjang tidak sampai dua minggu sahaja lagi nak raya! Jika tidak, tanggunglah deritanya nanti.

Ketika ini, pasti ramai dalam kalangan rakyat marhaen sudah berasa tidak hairan tentang THM dan tanggungjawab sama-sama mengurangkan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion itu. Kepada yang sudah menderma, tahniah sekali lagi kerana ada semangat patriotik walhal penulis sendiri sebenarnya tidak begitu mempedulikan tentang THM yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia sama-sama membantu negara melangsaikan beban hutang.

Apa yang penting ketika ini adalah hutang masa dan janji yang ditaburkan kepada anak-anak sepanjang Ramadan.

Malahan, hutang itu harus dibayar tuntas de­ngan kemeriahan dan kegembiraan memandang­kan ada anak-anak yang hanya sesekali sahaja dapat berbuka bersama ibu bapa, selebihnya bersama pengasuh atau salah seorang penjaga gara-gara ada tuntutan kerja. Hutang itu lebih penting.

Teruk atau tidak, itu sekadar pendapat peribadi. Jika ada yang menganggap perkiraan penulis ini salah atau kurang bijak, silakan.