Bayaran zakat itu diterima oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa daripada wakil-wakil syarikat yang terlibat antaranya Sirim Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, SME Bank dan CIMB Islamic Bank Berhad.

Mohamad Adzib ketika berucap dalam majlis itu berkata, sumbangan zakat perniagaan di Selangor ketika ini didapati meningkat pada kadar 42 peratus yang mana ia diharapkan akan dapat mencapai sasaran kutipan zakat LZS berjumlah RM700 juta pada tahun ini.

"Bayaran zakat itu merupakan antara tanggungjawab yang disyariatkan oleh Allah agar nikmat dan rezeki dapat dikongsi dengan golongan yang diuji musibah dan kesusahan.

"Ibadah zakat membuktikan Islam adalah agama yang menekankan sifat prihatin serta kasih sayang sesama manusia selain menolak sikap sombong dan mementingkan diri sendiri," katanya.

Turut hadir ialah Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS, Abdul Basith Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Datuk Izelan Basar. - K! ONLINE