Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku Khamis lalu apabila lelaki tersebut hadir membuat semakan status permohonan bagi rakannya yang hadir bersamanya.

Katanya, semakan tersebut dilakukan di cawangan LZS Klang Sentral. 

"Lelaki itu telah bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba melakukan serangan fizikal kepada kakitangan LZS. 

"Laporan polis telah dibuat bagi menjaga keselamatan kakitangan serta pelanggan yang berurusan di cawangan dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, lelaki tersebut dan keluarganya adalah asnaf yang sedang menerima pelbagai bantuan zakat dari LZS. 

Saipolyazan menambah, LZS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang 
bagi menjaga nama baik institusi zakat. 

"LZS menyeru kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan merujuk terus kepada LZS untuk sebarang penjelasan," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 2 minit 51 saat yang mendakwa pegawai LZS bersikap kurang ajar yang mendakwa memandang hina asnaf. - K! ONLINE