Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, di samping itu, rakyat perlu terus memberi tekanan kepada Lynas untuk bertanggung jawab terhadap sisa radioaktif mereka tanpa sebarang kompromi. 

Jelasnya, Lynas juga harus menunjukkan kesungguhan dan wajib mengotakan janji bertulis mereka kepada kerajaan Malaysia pada tahun 2012 untuk mengembalikan sisa radioaktif dari kilang Lynas ke negara asal iaitu Australia. 

“Setakat ini, belum ada jalan penyelesaian kepada isu sisa buangan radioaktif dari kilang Lynas. Amat penting bahawa orang ramai tidak melupakan isu ini kerana ia merupakan isu sentral dalam keputusan perlesenan dan operasi kilang Lynas pada masa hadapan. 

“Saya berpegang teguh kepada kenyataan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin yang telah meletakkan syarat penghantaran pulang sisa radioaktif dari kilang Lynas kembali ke negara asal Australia sebagai pra syarat penyambungan lesen operasi kilang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, Jepun semalam telah mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi di negara itu.

Pengumuman Perdana Menteri tersebut menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri berkata, daripada pengamatan beliau, isu sisa buangan radioaktif Lynas turut di perkatakan dengan panjang lebar oleh Perdana Menteri namun, bahagian tersebut  tidak dilaporkan oleh pihak media. 

“Sebaliknya, yang di laporkan oleh pihak media hanya sebahagian dari ucapan Perdana Menteri di dalam wawancara  tersebut, yang menyebut tentang aspek pelaburan dan perlesenan sahaja tanpa dikaitkan dengan sisa buangan radioaktif tersebut. 

“Pandangan saya, kesemua aspek jawapan Perdana Menteri berkenaan isu Lynas wajar di laporkan untuk memberi gambaran yang menyeluruh serta seimbang dan bukan gambaran sensasi semata,” katanya. - K! ONLINE