Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka juga mahu Korea Utara untuk kembali semula ke meja rundingan bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Najib yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir semalam memberitahu, kebimbangan itu disuarakan beliau dan pemimpin lain semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan yang dihadiri oleh Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada Isnin lalu.

“Dari segi ekonomi, pemimpin ASEAN menekankan bahawa usaha dan kerjasama jitu perlu ditingkatkan bagi memastikan sasaran nilai perdagangan AS$200 bilion (RM838 bilion) antara Korea dan ASEAN dapat dicapai menjelang 2020.

“Para pemimpin turut menyentuh mengenai potensi untuk meningkatkan integrasi ekonomi antara mereka setelah perjanjian FTA (Kawasan Perdagangan Bebas) ASEAN-Korea Selatan dapat dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Berhubung pertemuan dua hala beliau dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinzo Abe yang berlangsung di sini Ahad lalu, Najib berkata, kedua-dua mereka telah membincangkan beberapa perkara termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura.

Perdana Menteri berkata, beliau telah memberitahu Abe bahawa Malaysia akan membuka tender kepada pihak-pihak yang berminat untuk membida dan bidaan tersebut akan dipertimbangkan secara menyeluruh.

Projek infrastruktur sepanjang 350 kilometer itu dijangka menarik pembida antarabangsa bagi merebut projek kereta api laju melintas sempadan yang pertama di Asia Tenggara yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Singapura Disember tahun lalu. – Bernama