PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan berkata, pasukan PLUSRonda yang sedang melakukan rondaan pada pukul 3.30 petang semalam telah mengesan mendapan lubang berkenaan sebelum lorong kiri laluan tersebut ditutup buat sementara waktu. 

“PLUS bertindak menutup serta-merta lorong kiri bermula Kilometer 273.8 hingga Kilometer 272.5 arah utara berikutan mendapat berkenaan demi keselamatan pengguna. 

“Kejadian tersebut tidak melibatkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna dan pemeriksaan menyeluruh di sekitar kawasan berkenaan tidak menemui mendapan lain,” katanya. 

Tambah kenyataan itu lagi, pasukan penyelenggaraan PLUS dengan kerjasama pihak pakar masih memantau keadaan sekitar bagi keselesaan pengguna. 

“Siasatan bagi mengenal pasti punca mendapan juga sedang dilakukan,” katanya. 

Bagaimanapun, menurut Twitter Plus, semua lorong ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan pada pukul 1.48 pagi tadi bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan. 

“Kesesakan dianggarkan sejauh enam kilometer dan aliran trafik di laluan berkenaan dilencongkan ke Tol Ipoh Selatan sebelum masuk semula di Tol Ipoh Utara,” katanya. 

Difahamkan, lorong kanan laluan berkenaan telah pun dibuka kepada semua kenderaan pada pukul 3.55 petang hari ini. - K! ONLINE