Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, ini termasuk melibatkan peralatan loji dan injap serta meter ‘Bulk Supply Rate’ (BSR Meter) yang boleh mengalami kerosakan pada bila-bila masa sahaja. 

"Pelaksanaan kerja-kerja itu perlu dan kritikal agar kerosakan teruk tidak berlaku sehingga menyebabkan tempoh henti tugas loji mengambil masa lebih lama serta mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pelanggan.

"Segala persiapan telah dibuat secara rapi dan pihak kami komited dan berusaha bagi memastikan kerja-kerja penambahbaikan ini berjalan lancar seperti yang dijadualkan serta meminimakan impak gangguan kepada pelanggan yang terjejas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, Air Selangor juga akan melaksanakan 28 kerja-kerja tumpang bagi penggantian dan menaiktaraf sistem agihan dalam tempoh hentitugas loji ini. 

Ujarnya, menerusi pelaksanaan kerja-kerja tumpang ini juga dapat meminima dan mengelakkan gangguan di masa hadapan ekoran pelaksanaan kerja-kerja penyelengaraan dan baik pulih di sistem agihan.

LRA SSP1 ini mula beroperasi tahun 1993 dan henti tugas terakhir bagi kerja-kerja penambahbaikan yang dijalankan adalah pada tahun 2012. 

"Air Selangor telah mengambilalih pengoperasian LRA SSP1 ini selepas pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) dimuktamadkan pada April 2019 dan menjalankan audit teknikal.

"Hasil laporan audit teknikal ini mendapati beberapa peralatan penting perlu diganti dan kerja-kerja penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang gangguan tidak berjadual yang boleh memberi kesan dan impak gangguan yang lebih besar," katanya. 

Justeru, Abdul Raof menjelaskan sebarang maklumat berhubung kawasan dan gangguan boleh diperolehi dengan memuat turun aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ di Google Play atau App Store.

“Maklumat juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.syabas.com.my atau hubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019- 2800919 atau 019-281679 untuk pertanyaan dan bantuan,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan lebih tiga juta pengguna di tujuh daerah di Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 23 Julai depan.

Kesemua daerah itu melibatkan Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor selain Kuala Lumpur. - K! ONLINE