Ketua Pengarah LPP, Datuk Mohd Salim Taha berkata, penanaman durian Musang King dan jagung bijian merupakan satu pilihan kepada peladang ketika ini kerana dilihat memberi hasil yang baik dan pulangan lumayan kepada golongan itu.

"Penanaman Musang King boleh meningkatkan hasil eksport negara terutama ke negara China manakala penanaman jagung bijian iaitu makanan utama ternakan boleh mengurangkan import (jagung bijian). Pada masa ini Argentina merupakan pengeluaran jagung utama dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Tahunan 2018 LPP Terengganu yang turut dihadiri Pengarahnya, Abd. Mubin Abd Razak.

Mohd Salim berkata, penanaman durian Musang King sangat menguntungkan para peladang tidak kira sama ada durian yang baharu ditanam atau pemulihan tanaman durian yang ditukar kepada jenis Musang King. - Bernama