Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd. Azahari berkata, promosi selama dua hari bermula hari ini sehingga 8.30 malam esok itu dibuat bagi menghargai para pengunjung yang memilih taman tema tersebut sebagai pilihan untuk melancong dan berhibur.

“Bagi pas tahunan untuk masuk ke Lost World Hot Spring & Night Park, kami menawarkan harga serendah RM60 untuk warganegara yang lahir di Perak.

“Harga serendah RM159 pula ditawarkan kepada warganegara selain Perak dan kedua-dua harga ini sangat berbaloi berbanding harga asalnya iaitu RM412,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Nurul Nuzairi, antara tarikan yang terdapat pada waktu malam di LWOT ialah Hot Spring Night Park, Hot Spring and Spa, Luminous Forest dan Crystal Spa.

“Bagi pemegang pas tahunan Lost World Hot Spring & Night Park sedia ada pula, mereka boleh menukar pas tersebut kepada Pass Explorer dengan harga RM99 untuk tempoh enam bulan berbanding harga asalnya iaitu RM588.

“Jadi, pengunjung boleh menikmati semua tarikan yang terdapat di LWOT termasuk taman tema air, Petting Zoo, Tin Valley, Tiger Valley, Adventure Park dan Hyppo Kingdom,” katanya.

Katanya lagi, jualan mega itu merupakan promosi terakhir untuk tahun ini bagi permohonan baharu dan pembaharuan pas tahunan.

Mengulas mengenai tarikan terbaharu di LWOT, Nurul Nuzairi memaklumkan pihaknya akan menambah satu lagi tarikan yang terdapat di taman tema air mereka iaitu Malayana Rain Fortress yang akan dibuka kepada orang ramai pada cuti sekolah hujung tahun ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pas tahunan Hot Spring & Night Park boleh menghubungi nombor telefon 05-542 8888 atau layari laman web www.lostworldoftambun.com.

Lost World Hots Spring & Night Park dibuka kepada orang ramai bermula pukul 6 petang hingga 11 malam manakala taman tema tersebut pula dibuka pada pukul 10 pagi hingga 6 petang. - K! ONLINE