Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata, insiden itu menyebabkan dua tong cecair bahan kimia pada treler itu pecah dan tumpah di lokasi kejadian.

"Treler itu mengalami kerosakan dan ditunda oleh sebuah lori penunda. Tali penarik yang dipasang bagi menunda lori itu terlucut menyebabkan treler berkenaan terbalik.

“Sebanyak 35 tong berisi asid nitrik terjatuh dan dua daripadanya pecah serta tumpah di atas jalan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.09 pagi.

Menurut beliau, seramai 12 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban termasuk Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dihantar ke lokasi.

Jelas beliau, anggota HAZMAT mengambil masa kira-kira dua jam bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan kimia itu.

"Kejadian itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa. Kes diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut," katanya. - K! ONLINE