Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, sebahagian dinding hadapan masjid berkenaan roboh, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Menurut seorang saksi, Abdul Shukor Mohd. Said, 62, ketika kejadian terdapat beberapa orang jemaah yang berada di dalam masjid sedang menunaikan solat sunat selepas kuliah.

"Ketika itu saya sedang berjalan keluar untuk pulang dan ternampak lori ais berkenaan meluru laju ke arah masjid sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

"Ketika itu saya sudah bersedia untuk lari kalau lori berkenaan menghala ke arah tempat saya berdiri, sekelip mata sahaja lori itu merempuh bahagian dinding sebelah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori berusia 22 tahun itu cuba mengelak dari melanggar sebuah motosikal, namun terbabas dan merempuh pintu depan masjid tersebut.

"Hasil siasatan awal, lori tersebut dalam perjalanan dari Pernu menuju ke arah Bandar Raya Melaka.

"Setiba di tempat kejadian, lori tersebut cuba mengelak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti sehingga melanggar pintu masjid.

"Akibat kemalangan itu pintu hadapan, tingkap dan alang atap masjid mengalami kerosakan namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE