Lookism adalah satu bentuk diskriminasi terhadap golongan yang kurang menarik dari segi fizikal, paras rupa dan perwatakannya.

Sebelum ini banyak kajian menunjukkan bahawa mereka yang menjadi mangsa lookism ini sering berdepan kesukaran dalam bidang kerjaya berbanding mereka yang memiliki fizikal, paras rupa dan perwatakan menarik.

Sebagai manusia, kita pas­tinya tertanya-tanya apakah kaitannya kejayaan seseorang itu dengan bentuk fizikal atau paras rupanya? Bagi mengetahui jawapannya, amat penting untuk kita memahami apakah konsep sebenar lookism ini.

Lookism sebenarnya hampir besar impaknya terhadap manusia sama seperti diskriminasi perkauman atau bangsa, malah mungkin lebih dahsyat kerana ia membabitkan perkara subjektif yang mana definisi sesetengah orang mengenai kecantikan adalah berbeza-beza.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan lookism kerap berlaku di tempat kerja yang mana ia melibatkan diskriminasi atau pilih kasih berdasarkan rupa paras dan penampilan.

Cuba bayangkan kalau kita sendiri diberhentikan atau di­pulau dari tempat kerja hanya kerana memakai baju yang terlalu besar atau kerana senyuman kita tidak cukup menarik. Ia juga adalah satu bentuk diskriminasi.

Saintis berpendapat respon manusia terhadap sesuatu yang cantik dan menarik bergantung kepada otak kita. Ini bermakna reaksi manusia terhadap kecantikan sebenarnya tidak melibatkan psikologi atau persepsi tetapi lebih kepada bio­logi.

Dalam kajian yang dijalankan di Hospital Umum Massachusetts, Kolej Perubatan Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts, saintis mendapati apabila seseorang itu melihat rupa yang menarik, baha­gian otak yang memberi respon adalah sama se­perti ketika seseorang yang lapar melihat makanan atau seseorang yang suka berjudi melihat wang.

Jadi, pengaruh atau tanggapan seseorang itu terhadap kecantikan adalah sebahagiannya di luar kawalan kita, sekali gus membuktikan bahawa lookism ini ada dalam diri kita semua sama ada sedar atau pun tidak.

Saintis juga beranggapan bahawa reaksi manusia terhadap kecantikan adalah melibatkan faktor biologi seseorang dan bukannya dalam konteks sosial.

Sebagai contoh, bayi yang baru lahir akan mengambil masa yang lama untuk melihat orang cantik atau menarik pada seke­ping gambar walaupun bayi itu sendiri tidak memiliki pengalaman dari segi bersosial.

Oleh itu, tanggapan pertama adalah reaksi automatik daripada otak kita dan terma bagi situasi inilah yang dinamakan ‘halo ­effect’ iaitu sesuatu ke­simpulan yang kita buat de­ngan hanya membuat penilaian ke atas perkara-perkara kecil.

Contohnya, jika seseorang itu dilihat cantik dan menarik, kita secara automatik akan membuat kesimpulan bahawa orang itu adalah bijak, baik dan berbakat.

Banyak lagi impak daripada ‘halo effect’ ini seperti contoh wanita yang memakai solekan sederhana dianggap lebih menarik dan berdaya saing, orang yang memiliki bentuk muka simetri kelihatan lebih sihat, juri atau hakim lebih bersimpati terhadap pesalah cantik dan banyak lagi.

Justeru, mungkin atas sebab inilah ramai orang terlalu obses untuk menjadi cantik.

Profesor Renee Engeln dari Jabatan Psikologi di Universiti Northwestern di AS percaya lookism telah menyebabkan ramai wanita obses terhadap penampilan mereka.

Kesannya membuatkan wanita menjadi lebih murung dalam kehidupan, rutin makanan yang tidak teratur, kelemahan dalam pemikiran serta pembaziran dari segi masa serta tenaga.

Jelas sekali diskriminasi dalam lookism ini telah lama menular dalam hidup manusia dan jika tiada cara untuk kita atasi atau tanganinya, tidak mustahil ia bakal menjadi satu ‘penyakit’ baharu yang boleh menjejaskan hubungan antara manusia pada masa hadapan.