Mudir Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Mohd. Jalaludin Asayuti Mohamed,  49 , berkata, kebakaran seumpama ini merupakan kejadian pertama yang berlaku di madrasah yang dibuka secara rasmi pada tahun 1980.

“Namun, pemeriksaan berkala dilakukan pada setiap pondok yang berusia lebih 37 tahun itu tetap diutamakan. Buat sementara waktu, kesemua 24 mangsa yang berusia 13 hingga 60 tahun yang terlibat akan ditempatkan di asrama berhampiran.

“Saya bersyukur tiada penghuni yang mengalami kecederaan dalam kebakaran ini meskipun hampir keseluruhan pakaian dan kitab pengajian milik pelajar hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya, setakat ini kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM30,000.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik),  Dr. Nik Azlan Nik Abd. Hadi menyerahkan sumbangan berjumlah RM54,000 kepada mudir madrasah untuk pembinaan semula pondok selain membantu untuk pengurusan pelajar. 

Jelasnya, Maik akan berkerjasama dan memantau semua pondok tahfiz di Kelantan agar mengikuti piawaian Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Muamalat 03010002364711 dan Bank Simpanan Nasional (BSN) 0355042000016161 atas nama Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir. - K! ONLINE