Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata kesemua lima suspek lelaki berumur antara 30 dan 62 tahun itu melarikan diri dari PTS berkenaan kira-kira 6.45 petang.

"Sebenarnya semasa kejadian, tujuh individu telah melarikan diri dari pusat tahanan itu, namun dua daripadanya berjaya ditahan berhampiran PTS.

"Susulan daripada insiden itu, polis telah menjalankan operasi bagi memburu kesemua suspek yang masih bebas termasuklah mengadakan Op Tutup dan menyebarkan butiran suspek kepada seluruh anggota bertugas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Penampang yang baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata siasatan awal mendapati kelalaian penjaga di PTS itu merupakan punca tahanan dapat melarikan diri.

"Pengawal keselamatan di PTS adalah daripada pihak swasta dan kita telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kejadian itu bagi mengenal pasti punca kejadian seumpama itu," katanya.

Terdahulu, Ramli menyaksikan bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang DSP Haris Ibrahim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Penampang yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan kekosongan jawatan terbabit selepas penyandangnya sebelum ini, DSP Rosley Hobden berpindah ke Miri, Sarawak pada Disember tahun lalu. - Bernama