Pertuduhan terhadap Jeffrey Koh Hong Lam, 51, ; Goh Eng Meng, 46, ; Ee Bee Teng, 49, ;Koh Qian Yi, 19, ; Koh Qian Yun, 25, dan Koh Kiat Kuan, 23, itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keenam-enam tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah mengedar dadah jenis ketamin dengan berat kasar 9,755 gram (g) di dalam bonet belakang kereta berhadapan sebuah rumah di Jalan CS 12, Taman Cheng Setia kira-kira pukul 6.10 petang di sini pada  26 Julai lalu.

Sementara itu, di mahkamah berasingan di hadapan Majistret, Muhammad Nazrin Ali Rahim, Hong Lam dan rakannya, Eng Meng turut didakwa dengan niat bersama atas dua pertuduhan lain mengedar dadah jenis ketamin  dengan berat kasar 600 g dan methamphetamin  590 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung mandatori mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Najwa Nazari dan Intan Lyiana Zainal Abidin manakala semua tertuduh diwakili Peguam Andrew Lourdes.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes. - K! ONLINE