Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Yaakob Mariman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 7.55 malam dan menghantar dua jentera bersama 18 anggota ke lokasi.

Menurutnya, ketika bomba tiba di tempat kejadian, api sedang marak di deretan empat buah rumah dan sebuah rumah bertentangan dan bomba berusaha mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.

“Kebakaran memusnahkan lima rumah separa kekal dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.04 malam, namun punca kejadian dan anggaran kerugian masih lagi disiasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yaakob berkata, seramai 11 penghuni rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Kesemua mangsa dipindahkan ke Dewan Muafakat, Jalan Sekolah Agama, Kampung Pasir Putih untuk sementara waktu. - Bernama