Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, semua suspek berusia 18 hingga 24 tahun itu ditahan di taman perumahan di Ayer Tawar kira-kira pukul 2.30 pagi.

"Polis menerima laporan daripada orang awam selepas kejadian pecah cermin kereta untuk menyamun itu tular di laman sosial sebelum siasatan lanjut dilakukan.

"Siasatan yang dijalankan berjaya mengesan sekumpulan lelaki bermotosikal yang menjalankan kegiatan pecah cermin kereta tanpa tujuan itu di Ayer Tawar," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.

Tambah Muhammad Hanif, soal siasat yang dijalankan mendapati kesemua suspek yang menganggur itu mengaku membuat khianat dengan memecahkan 18 cermin kereta.

"Mereka mengaku melakukan aktiviti ini secara rambang dan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah. Polis percaya perbuatan ini lebih kepada khianat dan vandalisme.

"Kesemua lelaki ini ditahan reman bermula hari ini sehingga esok dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya. - K! ONLINE