Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10.15 pagi oleh sepasukan anggota polis Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

"Dalam serbuan tersebut, pihak polis telah menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga premis dan seramai 13 wanita warga asing dari pelbagai negara. 

"Kesemua wanita warga asing yang ditahan berusia dalam lingkungan 26 hingga 46 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Rusdi, pihak polis turut merampas sebanyak 60 keping kondom, tujuh buah buku kecil dan wang tunai berjumlah RM1, 418 dalam serbuan tersebut. 

"Pihak DBKL turut melakukan kerja-kerja perobohan di lima premis berkenaan iaitu dengan cara memecahkan dinding bilik-bilik pelacuran dan penutupan premis serta-merta di bawah Seksyen 10(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Kesemua tangkapan kini direman sehingga 29 Ogos depan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 373(1)(a) Kanun Keseksaaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63," tegas beliau. 

Dalam pada itu, Rusdi memaklumkan pihaknya turut melakukan serbuan ke atas sebuah pusat hiburan yang menyediakan perkhidmatan gadis pelayan (GRO) warga asing kepada pengunjung. 

"Serbuan dilakukan kira-kira pukul 11.15 malam di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang pada hari yang sama. 

"Seramai 12 wanita warga asing dari pelbagai negara telah ditahan dan pihak polis turut berjaya menahan dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai pengurus premis," ujar beliau. 

Jelas beliau, mereka yang ditahan turut direman sehingga 29 Ogos depan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63. - K! ONLINE