Difahamkan, kumpulan tersebut dinamakan Geng Lutong kerana modus operandi mereka yang melakukan jenayah curi di lokasi yang berlainan. 

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, semua suspek berusia antara 16 hingga 20 tahun itu bukan sahaja aktif mencuri motosikal malah turut menjual komponen yang dileraikan melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan Wechat. 

“Kesemua sembilan suspek ditahan dalam Ops Lejang yang dijalankan pada pukul 9.30 malam, 26 Oktober lalu. 

“Hasil tangkapan tersebut juga polis berjaya merampas dua buah motosikal, enam buah rangka motosikal dan tiga buah enjin termasuk sebuah enjin yang sudah diubah nombor casisnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini hari ini. 

Tambah Omar Bakhtiar, siasatan mendapati kumpulan ini telah aktif menjalankan kegiatan jenyah curi motosikal jenis Honda EX5 dan Wave sejak awal tahun ini. 

“Modus operandi mereka adalah dengan menyasarkan motosikal tersebut sebelum dilerai menjadi komponen dan dijual melalui aplikasi WhatsApp dan WeChat. 

“Rangka motosikal pula akan dibuang ke dalam parit di kebun kelapa sawit di sekitar daerah ini,” jelasnya. 

Katanya, antara pembeli yang sering membeli komponen yang telah dileraikan itu adalah kumpulan remaja di Nibong Tebal, Pulau Pinang dengan harga yang murah. 

“Hasil ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah namun ketua kumpulan mereka berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pembuat barang kemas mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes curi motosikal. 

“Kejayaan menumpaskan Geng Lutong ini membolehkan polis menyelesaikan lapan kes yang dilaporkan hilang selain menemui semula barangan yang dicuri,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal. - K! ONLINE